Putrajaya: Polis mengesahkan menerima dua laporan kes cabul dilakukan lelaki tidak dikenali di parkir sebuah bangunan sama di Cyberjaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian pertama berlaku 2 petang manakala kes kedua berselang 15 minit.
Menurutnya, kes kedua membabitkan wanita berusia 34 tahun di hadapan lif di tingkat dua bangunan berkenaan.
Katanya, kes berlaku pada 2.15 petang ketika mangsa menunggu lif dan secara tiba-tiba didatangi lelaki dari arah belakang.
"Lelaki berkenaan memeluk dan mencabul mangsa. Wanita itu cuba memusingkan badan untuk melepaskan diri sebelum suspek menolak mangsa sehingga terjatuh dan suspek terus melarikan diri," katanya.
Terdahulu pada kejadian 2 petang itu, pembantu peribadi berusia 27 tahun dicabul di parkir bangunan yang sama.
Wanita itu dicabul ketika suspek cuba membantu mengambil troli yang dibawa mangsa.
Wam Kamarul berkata, mangsa memaklumkan suspek memakai seluar panjang berwarna hitam dan baju lengan panjang warna hitam.
"Mangsa melihat lelaki itu bermata juling dan menyatakan tidak mengenali suspek serta mendakwa mereka tidak pernah berjumpa sebelum ini," katanya.
Katanya, polis sudah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati suspek adalah orang sama dengan kejadian pertama.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

